Saturday 16 November 2013

Karya Ini

Karya Ini

Telinga mendengar setiap perkhabaran
Mata melihat setiap pengambaran
Hidung menghidu mencari bauan
Akal berfikir penuh tumpuan
Hati gundah penasaran

Helaian putih itu dicapai
Pena berdakwat hitam itu digapai
Jemari mula menari
Menterjemah isi hati

Prosa kata mula dirangka
Tatabahasa perlu dijaga
Tekun terus berkarya

Masa terus berlalu
Kekadang jemariku kaku
Hanya mampu duduk termangu
Mencari ilham yang tak bertamu
Jemu juga menjadi tetamu

Cuba berfikir di luar kotak
Guna akal dan juga otak
Dada bertambah sesak
Aku hilang watak

Lembaran itu aku koyak
Aku genggam sampai lumat

Siapa akan peduli?
Siapa akan tangisi?

Naskah ini tidak berisi
Tiada nilai populariti
Tidak punya publisiti





Sunday 20 October 2013

Papan Tanda

Mentari terik membuat mata berpinar. Silau yang begitu memeritkan buat anak remaja itu menapak lemah. Baju seragamnya hampir kuyup dek peluh yang mencurah. Lenguh kaki menambah lelah. Tenaga kian surut dek kekurangan karbohidrat. Hanya kudrat dan semangat yang memacu sepasang kaki itu terus menghayun langkah.

Utoh berhenti berteduh seketika di bawah pohon rambai. Botol air dicapai. Penutupnya diputar lalu air diteguk rakus. Dia terlalu dahaga. Tekaknya kian kering menjadi bahan jemuran sepanjang perjalanan ke sekolah. Mukanya penat dalam kegalauan. Hari ini dia lambat lagi. Denda apa pula yang bakal diterima nanti. Airnya kini tinggal separuh. Jadi bekal semasa perjalanan pulang nanti. Dia mula melangkah lagi menuju ke destinasi.

15 minit berlalu...

Pintu pagar telah tertutup rapat. Dia melihat jam dinding di pondok jaga. Utoh terlambat 10 minit dari hari-hari biasa. Pak Mael tersenyum melihat anak remaja yang kepenatan itu. Pagar dibuka lalu menyuruh Utoh lekas ke kelas. Pak Mael tahu Utoh bukan pelajar culas.

Utoh berlari laju ke kelas 5 Bestari. Hatinya risau bukan kepalang mengenangkan Cikgu Hamka yang bengis dan sukar untuk diajak bertoleransi. Sampai sahaja di muka pintu, Cikgu Hamka menyambutnya dengan sebatang rotan.

"Kamu lambat lagi Utoh!", suaranya Cikgu Hamka meninggi. Cukup tinggi untuk didengari sehingga ke hujung blok bangunan sekolah. "Sa...sa..saya minta maaf cikgu...", Utoh memohon maaf dalam ketakutan. Muka Cikgu Hamka yang menyeringai itu membuatnya kecut perut.

"Kamu bukan lambat 10 minit, kamu dah lambat 20 minit!", Cikgu Hamka meneruskan momentum kemarahannya. Tiada kendur lenggok suaranya. "Berdiri di luar kelas sampai habis waktu saya!", arahnya tegas tanpa menunggu sebarang penjelasan dari Utoh.

Wednesday 8 May 2013

K.A.M.I

"Abang Rizq, ini Kay dan yang skema tu pula I. Both of them are my roomate", aku memperkenalkan rakan-rakan sebilikku kepada Abang Rizal yang lebih mesra dipanggil dengan gelaran Abang Rizq. "Salam perkenalan. Abang Rizq", kata Abang Rizq. "Kau bawa bodyguard siap-siap bhai!! Masak aku", ujar Abang Rizq sambil menepuk bahuku. Aku sekadar melepaskan  senyum. "Jadi ape cer brother Rizq? Sila lah bentang projek baik tu..", aku bersuara.

"Korang yang berdua ni tak kisah kan?Abang Rizq nak bentang projek ni...", kata-kata itu dituju kepada I dan Kay. "No problem bro. Bentang lah..apa ada hal", Kay menyambut dituruti anggukan daripada I. Abang Rizq mengukir senyum lalu mula berbicara tentang projek yang baru diperolehinya.

"Majlis ni kat Pasir Gudang dan Batu Pahat. Majlis sebelah perempuan kat Pasir Gudang dan majlis sebelah lelaki kat Batu Pahat. Harga yang Abang Rizq buka RM2800. Tapi lepas bincang dan proses tawar menawar, akhirnya Abang Rizq terbaik hati la pula bagi harga RM2500 kat bakal mempelai ni", mukadimah dari Abang Rizq.

"Baik hatilah sangat tu..So, apa pakej dalam RM2500 tu? Bagi potongan sampai RM300. nanti kira-kira modal terkurang baru tau..", aku bersuara. Bukannya aku tidak kenal dengan Abang Rizq tu, selalu kalah kalau pelanggan minta kurang. At last, gaji aku yang kena potong.

"Abang Rizq dah buat kira-kira dah. Jangan takutlah. Everything is under control", seperti menduga apa yang ada dalam kepala otak aku. "Untuk pakej ni, kita akan bagi satu custom album besar dan satu custom album saiz biasa. Selain tu, kita akan bagi satu pendrive untuk softcopy gambar, bingkai gambar saiz 8R dan satu photo canvas saiz biasa. Ada apa komen mau beri?", terang Abang Rizq.

Aku mula mencongak. Kepala ligat berfikir dan membuat kira-kira." Ini untuk 2 hari punya majlis atau 3 hari?", akhirnya aku bertanya. "Untuk 2 hari majlis. Pagi nikah, petang sanding dan minggu depannya bertandang. 1 dan 8 Mei ni. Kau free kan?", penjelasan berserta soalan dari Abang Rizq.

Aku terus mencapai diari hidup aku melihat catatan yang peribadi aku. Akhirnya aku mengangguk tanda aku free pada masa dan tarikh tersebut. Pen aku capai dan terus membuat catatan di diari peribadi aku sambil disaksikan oleh Abang Rizq, Kay dan I.

"Nanti aku bagi kau RM700 boleh?, soal Abang Rizq. "Tu tak termasuk design album kan? Juast upah ambil gambar kan?", aku pula menyoal. "Tolonglah M, janganlah berkira sangat. satu album kau tolonglah design. Abang Rizq mana sempat nak design semua", Abang Rizq memujuk. Aku yang malas nak layan dan selalu akur sahaja ni pun mengangguk sahaja. "Yalah orang tolonglah..", aku membalas.
"Macam inilah bhai!! Terima kasih 150 juta kali!!", persetujuan aku disambut riang oleh Abang Rizq.
"Ane, ini semua kira!! saya bayar!", tiba-tiba Abang Rizq memanggil ane dan menuju ke kaunter pembayaran. Aku terdiam dan Kay juga terkejut. I pula cuma memandang Abang Rizq.

"Terima kasih bro!!", aku berteriak sambil mata menhantar Abang Rizq ke kereta. "Maka selamatlah duit aku...", ujar Kay sambil tersenyum. "Baik betul Abang Rizq tu", I bersuara sambil sengih meleret. "Baiklah sangat...", aku menjawab dengan nada agak memprotes.

"Awak kenapa M? Baiklah tu belanja kita semua", ujar I. Aku hanya mampu tersenyum dan melepaskan keluhan. "Dia bayar ni baru berapa ringgit sangat I oi...bakal dapat seribu lebih, memanglah belanja sekarang", tiba-tiba Kay bersuara. Sekali lagi aku cuma senyum. I agak lambat menyerap apa yang cuba disampaikan oleh Kay.

bersambung....

Tuesday 7 May 2013

Melayu Johor

USMAN AWANG - "MELAYU JOHOR"

Melayu Johor,
Telah terlalu banyak kita kehilangan,
Sawah ladang bertukar tangan,
Pekan dan bandar kita menumpang,
Teluk Belanga entah ke mana,

Yang tinggal hanyalah pakaian,

Sedarah sedaging hampir hilang,
Yang ada hanyalah setulang,
Selat Teberau kian sempit,
Hati rindu jauh tergamit.

Di Johor
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar itu Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Aceh dan Siak adalah Melayu,
Jakun dan Sakai lebih Melayu,
Arab dan Turki pekat Melayu,
Mamak dan Malbari jadi Melayu,
Malah mualaf bertakrif Melayu.

Melayu itu maknanya bijaksana,
Jika menipu pun bersopan,
Kurang ajarnya tetap santun,
Dajalnya cukup selamba,
Budi bahasa jangan di kira,
Beraninya cukup benar,
Tunduk bila bersalah,
Lembutnya cukup jantan.

Setia sampai ke kubur,
Biar mati adat jangan mati sahabat.

Anak Johor,
Luka di Tanjung Putri,
Parutnya di Parit Raja,
Muka biar berseri,
Mulut biar berbahasa.

Berkelahilah cara Melayu,
Menikam dengan pantun,
Menyanggah dalam senyum,
Marahnya dalam tertawa,
Merendah bukan menyembah,
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan,
Jiwa Melayu mengangkat persahabatan,
Kasih sayang kekeluargaan,
Ringan tulang saling bertolongan,
Jujur memaafkan,ikhlas memberikan.

Berdamailah cara Melayu,
Silaturahim yang murni,
Di mulut sama di hati,
Maaf sentiasa bersahut,
Tangan di hulur bersambut,
Luka pun tidak lagi berparut.

Melayu Johor saudaraku yang dikasihi,
Dalam kekeruhan ini carilah kejernihan.

Dalam sengketa ini sambutlah perdamaian,
Sifat terpuji setiap insan,
Bermuafakat supaya berkat,
Bersaudara dunia akhirat,
Berikhtiar dengan tabah,
Kepada Allah berserah.

Tuesday 23 April 2013

K.A.M.I

"Ane! sini mari, mau order juga!!", jerit Kay setiba di Habib. Bergegas pelayan di Habib tu ke meja kami. Almaklumlah, muka Kay ni memang jenis muka orang pecah rumah sikit. "Hah, korang nak order apa? hari ni aku belanja", Kay bersuara. 'Kay mahu belanja? memang terbaiklah hari ini..', gumam aku sendiri. "Kasi roti telur 1, roti kosong 1 dan teh ais 1", I membuat pesanan. Sampai 2 roti dia nak melantak sorang. Gila kentang juga mamat nerd ni. Bagi saya capati 2 dengan kopi O ais satu. aku pun pesanlah 2 juga disebabkan kelaparan yang amat setelah seharian menyiapkan kerja-kerja tambahan aku.

"Pantang sungguh bila dengar orang nak belanja. Dan dan terus order semua dua. Air tu tak nak order dua sekali ke?", perli Kay. I tersenyum dan aku juga tersipu. Bukanlah aku order dua capati tu sebab Kay nak belanja, kalau dia tak belanja pun aku memang nak order dua.."Bagi aku mee goreng mamak satu, roti kosong satu, dan teh tarik satu gelas besar", Kay membuat pesanan. Ane hanya mengangguk.  Tiada langsung sebarang catitan dibuat. Boleh ingat ke tu? Hebat!!

"Kau pun melantak ke Kay?", aku bersuara. "Habis tu, korang ingat kau orang aja boleh melantak?", soal Kay selamba. "Aku memang lapar sangat. Bukannya ambil kesempatan sebab kau nak belanja. Kalau kau tak belanja pun memang aku order 2 gak capati tu kawan..", aku cuba memberi penjelasan. "I pun", I menyampuk. Kelakar bila melihat I mengangguk. Itulah dialog dia memanjang.

Telefon bimbitku kucapai. Jari mula menekan punat mencari nombor yang pemiliknya bernama Rizal. Tiba-tiba bahuku ditepuk orang. "M berganda!!! capati pun berganda beb!!", sergah Abang Rizal diikuti deraian tawa. Aku menjeling menunjukkan rasa tidak puas hati disergah begitu. "Kalau aku ada sakit jantung, boleh kojol tahu tak!", aku melepaskan apa yang terbuku. I terkulat-kulat mengelap meja dek kerana air yang tertumpah. Kesian sungguh aku kat dia, disebabkan sergahan Abang Rizal, terdesak mamat nerd tu.

Tawa Abang Rizal terhenti sebaik terpandang wajah samseng Kampung Dusun milik Kay Benjamin. Akhirnya dia memohon maaf dengan muka yang agak kecut aku kira selepas terpandang Kay. Aku yang geli hati melihatnya. Abang Rizal tak pernah kenal Kay. Maka dia tidak pernah tahu siapa Kay. Bagi aku Kay memang punya gaya samseng, tapi hati dia ada taman. Mamat jiwang karat tahap maksima. Muka aja yang ganas, tapi hati banyak bunga.

Thursday 21 March 2013

K.A.M.I

Sambungan dari

Suara Lah Ahmad dan Malique bergema. Aku segera mencari di mana telefon bimbitku. Punat hijau aku tekan, suara di talian kedengaran. " M, aku ada job baru. Mahu join skali? kali ni masyuk sket. Full cover. Full package". Aku yang masih mamai melihat skrin  dan barulah aku sedar yang Abg Riz di talian. "Kau nak ke tak?", soalan diaju lagi. "Assalamualaikum", giliran aku bersuara. "Weh, perli nampak..", sambut Abang Riz sambil ketawa. " Wakaka, area mana bro? job berapa hari ni? date please..", bertubi soalan aku aju. "Kita jumpa kat Habib lepas isyak. Boleh borak panjang. Bye!", soalan aku tak dijawab tapi talian diputuskan. aku hanya mampu mengeluh. Rosak program aku.

I memandang aku. Kebetulan dia tidak ke library seperti biasa. Aku balas pandangannya dengan senyuman. "You nak pergi mana-mana tak?", I bersuara tiba-tiba. Aku menoleh lalu bertanya,"Bila?". "Malam ni..", jawab I. " Oo..lepas Isyak nanti aku pergi Habib. Apa kes? , mahu join?". "I ikut boleh?", I bersuara lagi. Aku terkedu. Pelik. Aneh bin ajaib. "No hal, tapi pelik sket la. Kau kenapa? Ada problem? Anything that I can help you?", Aku bertanya. Pelik dengan I.

Sebenarnya, aku gembira sebab ada teman. Dibuatnya Abg Riz lambat macam selalu, taklah bosan nanti. Riak wajah I sememangnya mempamerkan kekusutan. " I boring. Kalau I pergi library nanti semua orang cari I, tanya itu ini. Kalau duduk bilik sorang-sorang, mesti ada aje yang ketuk nanti", I menambah. "Okay lah kalau macam tu. Kita pegi masjid dulu then we move to Habib", aku buat kata putus.

I tersenyum gembira seperti budak kecil setelah mendengar kata putus dari aku. Selama ni aku ingat I tidak pernah kenal makna bosan. Tidak pernah tahu erti rimas. Ternyata andaian aku meleset. I juga manusia. Pasti ada batasnya. Perubahan I beri aku sedikit sinar. Ini mungkin permulaan untuk aku keluar dari kepompong keseorangan.

Selepas mandi dan bersiap, kami bergegas mahu ke masjid. Kunci kapcaiku serta 2 topi keledar aku capai. I memulas tombol pintu, tiba-tiba Kay melulu masuk. I terperanjat. Aku terkesima. Kay menjerit, " Tutup pintu tu I! Kunci sekali!". I menurut. Persolanan mula menerjah benak fikiran. Akhirnya aku bersuara pabila melihat I kecut perut.

"Kau ni kenapa Kay, kitorang nak pergi masjid. Kalau kau suruh tutup dan kunci pintu tu, macam mana kami nak ke masjid?". Kay memandang aku dengan muka yang sedikit cuak. "Apa kau dah buat Kay?", aku bersuara lagi. Kay hanya mendiamkan diri seperti batu. "Cuba awak cerita dengan I dan M. Kalau kami boleh bantu, kami bantu", giliran I berkata-kata.

Hampir 5 minit kami menunggu dan Kay tetap berdiam. "Kalau kau tak nak cakap, kitorang pergi masjid dulu. Kau duduk lah sini. Kalau kau rasa tak tenang, baik kau ikut kami sekali", aku memberi isyarat kepada I supaya kami meneruskan hastrat kami ke masjid. Kay memandang aku yang menuju ke pintu. Dia bersuara, "Korang pergi lepas maghrib tak boleh ke? aku nak ikut. Aku tak nak duduk sini sorang-sorang. Bagi aku mandi kejap", Kay mencapai tuala lalu ke bilik air. Aku terkesima. Karim Benjamin nak ikut pergi masjid? lagi satu benda pelik berlaku dalam bilik ni. I juga seperti aku. Riak wajahnya menunjukkan rasa hatinya yang aneh.

Akhirnya, kami hanya maghrib di bilik secara berjemaah. Kay juga turut sama menjadi makmum sambil I menjadi Imam. Hari yang mendamaikan. Kurasakan suasana bilik ini sangat tenteram. Seusai solat maghrib berjemaah, kami ke masjid dengan kereta Satria Neo milik Kay. Aku dan I mengambil langkah berdiam dan tidak mahu mempersoal tindakan Kay.

"Kay, lepas Isyak nanti kita pergi Habib ya?", aku mula bebicara. Kay mengangguk. I pula hanya tersenyum. Malam ini kami ke Habib bertiga.

bersambung..


Sunday 24 February 2013

K.A.M.I


Mamat berseluar ketat warna kuning berbaju Pagoda bersama gitar merah yang sedang duduk bersandar dibirai katil itu ialah Kay. Seorang penggemar muzik. Boleh dikatakan masanya lebih banyak bersama gitar  berbanding jawatan yang disandangnya iaitu seorang mahasiswa. Kay sanggup berhabis kerana muzik. Nasib baik dia anak orang kaya. Genre kegemaraannya ialah Pop Rock. Penyanyi yang digilainya ialah Amy Mastura (kelakar benar). Sesuatu yang pelik tapi benar. Jiwa seni yang aku sendiri tak faham. Sebagai maklumat tambahan, nama Kay ialah Karim. Jarang aku jumpa manusia bernama Karim yang menggunakan gelaran sebagai Kay.

Kay merupakan rakan sebilik pertama yang aku sapa kerana perwatakannya yang bersahaja dan blur. Muka dan gayanya agak menjengkelkan dan itu tidak mampu untuk aku nafikan. Namun, di sebalik kejengkelannya itu, dia punya hati yang baik. Seperti yang aku katakan tadi, Kay anak orang berada. Dia punya harta dan mudah untuk berbelanja terutamanya produk yang berkaitan dengan seni muzik. Bapanya seorang usahawan dalam bidang penternakan ikan Kelisa manakala ibunya pula menjadi pembantu setia bapanya. Agak kekampungan dari segi asal usul tetapi terlalu moden dari segi penampilan. Kalau anda sukar untuk mempercayainya, aku juga begitu. Tapi ini bukan mimpi. Inilah realiti. Inilah susur galur Karim Benjamin.

Sedang rukuk di suatu sudut itu pula ialah Ad. Cara sebutannya A-D. Nama sebenarnya Adrinata Andika. Agak unik dan sangat nusantara. Dia seorang lelaki melayu yang meminati bidang politik. Di mejanya penuh dengan buku-buku berkaitan politik sehingga buku-buku tentang Kejuruteraan Mekanikal, kursus yang diambilnya di sini tenggelam dan tersisih. Suka berdebat tanpa mengira situasi, malah kerap menimbulkan ketegangan di kampus setiap hari. Secara jujur, aku tidak berkenan dengan sikapnya yang gemar berpolitik dan bertikam lidah. Namun, aku sangat senang dengan dirinya yang tidak culas dalam mengerjakan tuntutan Ilahi. Ad punya karisma tersendiri. Namun caranya dan pemikirannya buat aku kurang berkenan di hati.

Kalau Kay datang dari keluarga usahawan, Ad pula datang dari keluarga ahli politik. Bapanya seorang wakil rakyat dan ibunya pula seorang ketua wanita sebuah parti politik di kawasannya. Kata orang, mana tidak tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Sememangnya patut dan sangat rasional kalau isu politik menjadi kegemaran Ad. Andai dia berjaya dalam dunia politiknya, aku berdoa agar dia mampu jadi ahli politik yang terbaik. Dalam diam, aku selalu rasa Ad tidak perlu melanjutkan pelajaran ke universiti ini. Lagi-lagi dalam bidang Kejeruteraan Mekanikal. Aku berfikiran begitu atas sebab aktiviti Ad dalam arena politik terlalu padat sehingga dia sendiri lupa dan sering mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar. Jurutera yang bagaimana yang akan dilahirkan nanti? Satu persoalan dan tanda tanya seringkali berlegar di  kepala bila aku melihat dia.

Berkata mata tebal dan sedang khusuk duduk di meja bersama buku Fluid Mechanics itu pula ialah I. I juga pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal seperti Ad. Penerima anugerah dekan setiap semester dan seringkali menjadi kaunter pertanyaan kepada pelajar-pelajar lain yang sejurusan dengannya. Tidak boleh dinafikan, I sememangnya antara bijak pandai kampus ini. Namun, sikap dan sifatnya yang naif seringkali dipergunakan oleh manusia-manusia rakus dan sukakan kerja senang termasuklah juga Ad.

I merupakan anak kepada seorang Professor dalam bidang statistik iaitu Professor Dr. Hadi Deraman. Ibunya pula seorang guru Fizik di Maktab Rendah Sains MARA Terendak. Kepintarannya tidak menghairankan kerana beliau sememangnya lahir dalam keluarga pendidik. Seperti Kay dan Ad, I hanyalah sekadar nama gelarannya kerana gemar menggunakan kata ganti diri sebagai "I", bagi merujuk dirinya. Agak pelik bila mengetahui asal usul gelarannya.

Nama sebenarnya ialah Fakhrul Razi. Nama yang indah dan andai diberi pilihan aku lebih gemar memanggilnya dengan nama sebenarnya. Bagi aku, luaran I sememangnya lemah tetapi dalamannya sangat kuat. Di mata aku, I sangat cekal dan kuat menghadapi ejekan serta manusia-manusia rakus yang selalu menggunakan kelebihan fizikal mereka terhadap I. Senang cerita, walaupun I sering ditindas dan dipergunakan, dia tetap redha dan sedia membantu. Hatinya baik dan itu membuat aku bangga punya rakan sebilik sepertinya. Dalam bangga, aku selalu berharap agar I akan melawan dan tidak terus dipergunakan.

Siapa aku? Aku adalah aku. Manusia yang tinggal sebilik dengan ketiga-tiga manusia yang telah aku ceritakan di atas. Aku pelajar jurusan Teknologi Maklumat tetapi meminati bidang fotografi. Tidak sekreatif mana, tetapi sentiasa rasa diri ini kreatif. Dalam kalangan pelajar dan rakan-rakan, aku digelar M. Gelaran ini sekadar singkatan dari namaku yang tertera di kad pengenalan iaitu Maher Mawardi.

Di bilik ini, aku jarang bersembang bersama Kay, I dan Ad dalam masa yang sama. Sebab utama perkara ini jarang berlaku ialah aku tidak berada dalam jurusan yang sama dengan mereka. Sebab yang kedua, setiap individu dalam bilik ini terlalu sibuk dengan aktiviti masing-masing. Kami lebih gemar membuat hal masing-masing. Senang cerita, kami tidak kenal antara satu sama lain secara lebih dekat. Hanya sedikit sebanyak latar belakang keluarga yang kami kongsikan. Itupun semasa hari pertama kami melangkah ke bilik ini.

Secara jujur, aku agak tertekan dengan keadaan ini kerana sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik, aku benar-benar rasa terasing. Seperti berada dalam penjara keseorangan tanpa teman.

Bersambung...

Wednesday 2 January 2013

Aku Kenal Dia: Dalam Pembikinan

Aku Kenal Dia

Sinopsis - Berkisar tentang jatuh bangun hidup seorang pemuda yang memilih bola sepak sebagai kerjayanya. Jalan yang dipilih oleh Izlan tidak dipersetujui sepenuhnya oleh bapanya yang juga merupakan bekas seorang atlet. Walau bagaimanapun, keluarganya tidak pernah menghalangnya untuk  menggapai kejayaan dalam arena yang beliau ceburi.

Kedegilan dan keterujaan Izlan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan membawa padah kepadanya. Nasihat dari Minn, doktor peribadinya tidak pernah diendah. Maka bermulalah episod duka. Izlan melarikan diri ke kampung cuba melupakan pahit yang terpaksa ditelan. Khabar angin tentang kisahnya dan tuduhan peminat suka bola sepak tempatan menjadi isu paling hangat di negara. Keputusannya untuk menghilangkan diri dan mencari ketenangan di kampung tempat dia berguru tentang bola sepak menyebabkan ramai yang mempercayai khabar angin yang timbul.

Lebih malang, adik kesayangannya juga mempercayai khabar angin tersebut dan tidak mahu bersua muka dengannya. Namun masih ada insan-insan tersayang yang sentiasa berada di belakangnya. Mereka merupakan insan-insan yang mengenali Izlan. Mereka berusaha dan bersusah payah mengembalikan sinar dalam hidup Izlan. Berjayakah insan-insan tersebut membantu Izlan? Benarkah khabar angin yang tercetus? Mampukah Izlan kembali menyinar?

Dalam ruangan blog ini, hanya beberapa bab sahaja yang akan disiarkan...

Terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk membaca!

Segala yang baik itu datang daripada Allah, dan yang buruk itu daripada kelemahan diri saya sendiri..

Wassalam~

Boleh baca mengikut urutan:-
Aku Kenal Dia 1, Aku Kenal Dia 2, Aku Kenal Dia 3, Aku Kenal Dia 4

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More