Sunday 20 October 2013

Papan Tanda

Mentari terik membuat mata berpinar. Silau yang begitu memeritkan buat anak remaja itu menapak lemah. Baju seragamnya hampir kuyup dek peluh yang mencurah. Lenguh kaki menambah lelah. Tenaga kian surut dek kekurangan karbohidrat. Hanya kudrat dan semangat yang memacu sepasang kaki itu terus menghayun langkah.

Utoh berhenti berteduh seketika di bawah pohon rambai. Botol air dicapai. Penutupnya diputar lalu air diteguk rakus. Dia terlalu dahaga. Tekaknya kian kering menjadi bahan jemuran sepanjang perjalanan ke sekolah. Mukanya penat dalam kegalauan. Hari ini dia lambat lagi. Denda apa pula yang bakal diterima nanti. Airnya kini tinggal separuh. Jadi bekal semasa perjalanan pulang nanti. Dia mula melangkah lagi menuju ke destinasi.

15 minit berlalu...

Pintu pagar telah tertutup rapat. Dia melihat jam dinding di pondok jaga. Utoh terlambat 10 minit dari hari-hari biasa. Pak Mael tersenyum melihat anak remaja yang kepenatan itu. Pagar dibuka lalu menyuruh Utoh lekas ke kelas. Pak Mael tahu Utoh bukan pelajar culas.

Utoh berlari laju ke kelas 5 Bestari. Hatinya risau bukan kepalang mengenangkan Cikgu Hamka yang bengis dan sukar untuk diajak bertoleransi. Sampai sahaja di muka pintu, Cikgu Hamka menyambutnya dengan sebatang rotan.

"Kamu lambat lagi Utoh!", suaranya Cikgu Hamka meninggi. Cukup tinggi untuk didengari sehingga ke hujung blok bangunan sekolah. "Sa...sa..saya minta maaf cikgu...", Utoh memohon maaf dalam ketakutan. Muka Cikgu Hamka yang menyeringai itu membuatnya kecut perut.

"Kamu bukan lambat 10 minit, kamu dah lambat 20 minit!", Cikgu Hamka meneruskan momentum kemarahannya. Tiada kendur lenggok suaranya. "Berdiri di luar kelas sampai habis waktu saya!", arahnya tegas tanpa menunggu sebarang penjelasan dari Utoh.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More