Sunday 23 December 2012

Aku Kenal Dia 4

cerita sebelumnya

BAB 1

"Aaaaaargh...sa..sa...kit!", tersangatlah bila kaki ini bila diurut tanpa belas kasihan. Cikgu Jaafar cuma tersenyum. Tok Bak juga hanya mengukir senyum. Seolah-seolah jeritan dan rontaan aku sekadar lakonan semata. "Ni betul-betul sakit ni Cikgu. Saya memang tak mampu nak tahan dah ni. Perlahan sikitlah Cikgu", akhirnya aku bersuara. "Orang lelaki kenalah tahan sakit. Kalau saya urut perlahan, jawabnya susahlah nak baik. Kena sepak terajang kat padang bola tu ok, takkanlah kena urut sikit dah menjerit-jerit sampai nak runtuh rumah saya", Cikgu Jaafar meneruskan urutan tanpa belas diikuti tawa Tok Bak.

Sesi mengurut selesai. Aku dapat rasa perjalanan darah di kaki kembali normal. Namun bisa sakit dek urutan Cikgu Jaafar masih berbaki. Dua keping Not RM10 ku keluarkan lalu kuhulurkan kepada Cikgu Jaafar sebagai tanda terima kasih atas urutan yang menyakitkan sebentar tadi. "Cukup tak Cikgu?", soalku. Almaklumlah, ini baru kali pertama aku berurut dengan seorang guru silat yang sangat handal di gelanggang. Cikgu Jaafar mengukir senyuman sambil menganggukkan kepala tanda terima kasih sekaligus bersetuju dengan harga yang aku berikan.

"Ingat Hairi, jangan terlalu banyak berjalan. Berdiri pun perlu dikurangkan. Jadi kaki kamu tu takkan terbeban", Cikgu Jaafar memberi pesan. Aku cuma mampu mengukir senyuman. "Dua kali seminggu kaki kamu perlu diurut", Cikgu Jaafar menokok. "Insya-Allah Cikgu. Saya akan datang lagi nanti", jawab aku cuba berbahasa.

"Kaki kamu tu sebenarnya dah lama sakitkan? Kenapa terus bermain kalau diri dah tak mampu? Tayar kereta kalau dah kurang angin kemudian kamu teruskan juga pemanduan, lama kelamaan tayar tu akan pecah. Natijahnya berlaku kemalangan. Bukan tayar sahaja yang perlu diganti. Kereta yang remuk akibat kemalangan tu juga perlu dibaiki. Kamu fahamkan maksud saya?", rahsiaku pecah di tangan Cikgu Jaafar. Pasti Tok Bak akan menyambung sepanjang perjalanan pulang nanti. Aku hanya mampu menundukkan kepala mengiyakan kata-kata Cikgu Jaafar.

Tok Bak mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Jaafar dan kami meminta izin untuk beransur pulang. Aku membototi Tok Bak ke kereta. Perjalanan pulang sepi. Tanganku mencapai punat radio. Lagu Hitam Manis berkumandang di Klasik Nasional. Tok Bak hanya diam. Aku juga diam. Telahan ku meleset.

Tok Bak membantuku keluar dari perut kereta. Tok Mak menunggu di muka pintu tapi tidak bersendirian. Dalam kesamaran malam, mataku melilau dan akhirnya terpandang kelibat Perdana Hitam milik Papa. Debaran terasa. Apa motif Papa? Jarang Papa pulang pada waktu begini. Aku mula tertanya-tanya di dalam hati.

bersambung....

Thursday 20 December 2012

Aku Kenal Dia 3

cerita sebelumnya...

BAB 1

"Kaki kamu tu teruk sangat cederanya?", soalan dari Tok Bak seusai aku keluar dari bilik air. "Biasalah Tok, boleh jalan lagi ni kira tak teruklah..", jawapan diberi sambil senyuman terukir. "Sampai bertongkat pun kata masih tak teruk. Berapa lama nak sembuh sakit tu? Tak nak berubat kat hospital ke cari dukun kampung?", Tok Bak kerisauan melihat keadaan aku.

"Kenapa main kalau kaki tu cedera? Bila kalah kamu pula yang dikatakan makan suap. Bukan ke menyusahkan diri sendiri tu namanya?", sampuk Tok Mak. "Masa game hari tu rasa boleh main Tok Mak. Tapi tiba-tiba rasa sakit. Ingatkan mampu, tak sangka sampai bertongkat jadinya", mencari dalih cuba mempertahankan diri.

"Awak jangan degil sangat Encik Izlan. Kecederaan yang bakal awak terima nanti bukan boleh sembuh sebulan dua. Kalau awak terus bermain tanpa menghiraukan nasihat saya, kebarangkalian untuk awak bertongkat secara kekal itu tinggi", bebelan Min masih terngiang. Siap guna ayat kebarangkalian tu. Macam subjek Matematik lah pula.

Implikasi bertongkat ni memang telah aku ketahui. Namun, semangat membara bila pasukan kami ketinggalan menyebabkan aku nekad bermain. Kata orang, kusangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Larianku yang pada mulanya laju semakin perlahan. Keadaan padang yang becak menyulitkan lagi keadaan dan akhirnya peluang yang terhidang di hadapan jaring dilepaskan dan disusuli dengan cemuhan. Memang dah nasib aku agaknya.

"If you play well and score that goal, we will be the champhion! Now what you have done? Do you happy with this situation? You are useless! You have made a huge mistake!", herdikan dari jurulatih mat salih yang sangat mengguris. Bagaikan aku tidak berguna langsung dalam pasukan. Kalau hati kuman tu kecil, kecil lagi hati aku mendengar kata-kata itu. Senget dan sengal. Aku rindu jurulatih tempatan. Walau kalah mereka tetap mempertahankan pasukan. Walau menyalahkan, mereka tetap akan memujuk dan memaafkan.

Maghrib menjelma dan aku mengikut rutin Tok Bak ke masjid. Selepas Isyak, Tok Bak mengajak aku bertemu dukun Jaafar. Seorang guru silat yang pandai mengurut juga guruku ketika aku sekolah rendah. Cikgu Jaafar anak murid moyangku. Kenal lagi kah Cikgu dengan aku? Persoalan itu tidak membimbangkan berbanding kesakitan yang bakal aku hadapi bila diurut nanti.

bersambung...




Wednesday 19 December 2012

Aku Kenal Dia 2

cerita sebelumnya..

BAB 1

"Apa yang nak dimenungkan lagi? Semalam adalah sejarah. Usah dikenang. Fikirkan masa depan", suara Tok Mak memcah lamunan. Bukan termenunglah Tok Mak. Ni tengah fikirkan masa depan lah ni. Saja ambil angin kat kebun ni. Sejuk sikit. Tenang dan damai". "Lepas ni kamu akan ke mana? tak kan nak terus sembunyi..", tambah Tok Mak. "Isy, mana ada orang sembunyi Tok Mak. Orang balik kampung nak jenguk Tok Mak dan Tok Bak. Nak berehat. Lepas ni orang ingat nak tolong Tok Bak jaga kebun ni la", jawabku.

"Sungguh?" soal Tok Mak. "Sungguh apanya?", soalan dibalas dengan soalan. "Sungguh kamu nak jaga kebun ni? Tak rindu ke dengan padang bola tu? Kontrak kamu tu nanti macam mana? Papa kamu mesti tak setuju. Rajuk tu janganlah berpanjangan cu", Tok Mak memulakan ceramah. Aku hanya mampu tersenyum. Papa mungkin tak setuju aku tolong Tok Bak jaga kebun. Tapi tak bermaksud Papa tak bersetuju aku gantung but.

Tongkat yang tersandar di pokok kelapa sawit kucapai. Dengan payah aku melangkah. Tuala kucapai dan terus bilik air untuk membersihkan diri. Melihat kaki yang agak kaku ini, aku teringat pada Min. Doktor yang menyimpan semua rahsia tentang tahap kesihatan dan kecederaan aku.

"Saya tak boleh beri jaminan yang awak boleh main. Keadaan awak agak serius. Nasihat saya, awak perlu berehat panjang"

"Main separuh masa je ok kan?", soalan degil aku ajukan. " Kan saya kata tadi awak kene berehat panjang..", jawab Min dengan nada geram. Mungkin geram dengan kedegilanku. Bukan sekali dua aku melawan arahan dan nasihatnya.

"Saya tak ada masa untuk berehat. Seperti biasa, tolong simpan semua maklumat perubatan saya dari pengetahuan semua termasuk keluarga saya dan Dr Aleeya.", aku bersuara. "Tapi..", Min cuba bersuara namun aku terus mencelah. "Nokhtah dan tak ada tapi-tapi lagi", sedikit tegas aku bersuara.

Min aku tinggalkan tanpa sempat dia berkata-kata dan aku tahu dia tidak akan pernah berani untuk memecahkan rahsia ini. Rahsia aku dan Min. Rahsia antara seorang doktor muda dengan pesakit yang degil.

Hari ni amaran Min jadi nyata. Menyesalkah aku? Jawapannya tidak. Tidak sama sekali. Aku tak pernah menyesal. Ini jalan yang aku pilih dan aku kene terima segala akibatnya.

bersambung...


Tuesday 18 December 2012

Aku Kenal Dia 1

BAB 1

Angin sepoi-sepoi bahasa bertamu menyapa. Nota-nota yang kutulis tadi kini berselerakan. Langkah longlai ini kugagahkan mengutip. Siapa sangka lelaki ini berubah berubah watak. Walau pahit tetap perlu ditelan. Walau sakit tetap perlu menahan. Kesasaan fizikal bukan penentu kekuatan mental. Itulah hakikatnya. Kritikan, hinaan serta tomahan yang dilempar tidak tertahan lagi oleh diri ini. Dan akhirnya aku menjejak kaki di bumi yang tenang ini untuk mencari penawar.

Bukan berniat untuk melarikan diri tetapi lebih kepada mencari ketenangan selepas mencipta ketegangan. Kerjaya yang aku bina kini aku tinggalkan buat sementara atau mungkin selamanya. Keadaan yang memaksa. Keadaan yang menentukan segala. Kata-kata manusia yang hilang semangat. Kata-kata manusia yang cuma pasrah dan berserah.

Melihat pemandangan hijau, mendengar kicauan burung dan ditemani bunyi unggas sangat mendamaikan. Jauh dari hiruk pikuk kota metropolitan. Jauh dari wartawan, kawan dan juga lawan. Kata orang, tempat jatuh lagi dikenang. Sebab itu aku pasti dengan pelarian ini. Moga aku mampu bangkit dan mendapatkan semula semangat yang hilang.

"Biar merangkak dalam gelap. Jangan meraba dalam terang. Bangkit bila rebah. Jangan rebah terus menyerah", kata-kata Tok Bak masih terngiang-ngiang tatkala aku menjejak kaki  di sini.

Sejak aku menjejakkan kaki di sini, Tok Bak dan Tok Mak selalu menasihatkan aku. Mengajak aku bergaul dan hidup dengan orang. Memberi semangat supaya aku boleh bangun. Mengimbau kenangan dan kejayaan indah aku yang lampau serta memberi kata-kata perangsang. Mereka agak sedih dengan keputusan dan perubahanku.

" Saya akui itu salah saya. Saya mensia-siakan peluang yang ada. Saya dah buat silap. Saya faham kalau anda sukar menerimanya", jawapan aku tika diaju pelbagai soalan. "Tapi anda seperti sengaja melakukannya. Anda tidak mengejar seperti selalu. Ada pihak persoalkan sama ada anda dibeli atau tidak. Apa komen anda?", persoalan terus diaju..

Setelah keputusan kubuat tanpa berfikir panjang dengan cara kurang waras dan tidak rasional, Papa agak gembira. Mama hanya neutral. Membantah tidak bersetuju juga tidak. Sejak dari dulu Papa kurang bersetuju dengan jalan yang kupilih ini. Bagi Papa, bidang yang aku ceburi ini tidak akan ke mana. Jangka hayat yang singkat tapi perlu pengorbanan yang besar. Pulangan belum tentu lumayan. Kepala business pasti berfikir begitu. Bagi Mama pula menyokong kerana tahu ini memang minatku tetapi sentiasa risau andai kecederaan melanda. Ini pula kepala seorang doktor.

Walau bagaimanapun aku tetap bersyukur kerana mereka tidak pernah membantah. Aku tahu yang mereka risau akan masa depan aku. Sekarang sudah terbukti kesuraman melanda dan kelamnya masa depan aku.

bersambung...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More