Sunday 24 February 2013

K.A.M.I


Mamat berseluar ketat warna kuning berbaju Pagoda bersama gitar merah yang sedang duduk bersandar dibirai katil itu ialah Kay. Seorang penggemar muzik. Boleh dikatakan masanya lebih banyak bersama gitar  berbanding jawatan yang disandangnya iaitu seorang mahasiswa. Kay sanggup berhabis kerana muzik. Nasib baik dia anak orang kaya. Genre kegemaraannya ialah Pop Rock. Penyanyi yang digilainya ialah Amy Mastura (kelakar benar). Sesuatu yang pelik tapi benar. Jiwa seni yang aku sendiri tak faham. Sebagai maklumat tambahan, nama Kay ialah Karim. Jarang aku jumpa manusia bernama Karim yang menggunakan gelaran sebagai Kay.

Kay merupakan rakan sebilik pertama yang aku sapa kerana perwatakannya yang bersahaja dan blur. Muka dan gayanya agak menjengkelkan dan itu tidak mampu untuk aku nafikan. Namun, di sebalik kejengkelannya itu, dia punya hati yang baik. Seperti yang aku katakan tadi, Kay anak orang berada. Dia punya harta dan mudah untuk berbelanja terutamanya produk yang berkaitan dengan seni muzik. Bapanya seorang usahawan dalam bidang penternakan ikan Kelisa manakala ibunya pula menjadi pembantu setia bapanya. Agak kekampungan dari segi asal usul tetapi terlalu moden dari segi penampilan. Kalau anda sukar untuk mempercayainya, aku juga begitu. Tapi ini bukan mimpi. Inilah realiti. Inilah susur galur Karim Benjamin.

Sedang rukuk di suatu sudut itu pula ialah Ad. Cara sebutannya A-D. Nama sebenarnya Adrinata Andika. Agak unik dan sangat nusantara. Dia seorang lelaki melayu yang meminati bidang politik. Di mejanya penuh dengan buku-buku berkaitan politik sehingga buku-buku tentang Kejuruteraan Mekanikal, kursus yang diambilnya di sini tenggelam dan tersisih. Suka berdebat tanpa mengira situasi, malah kerap menimbulkan ketegangan di kampus setiap hari. Secara jujur, aku tidak berkenan dengan sikapnya yang gemar berpolitik dan bertikam lidah. Namun, aku sangat senang dengan dirinya yang tidak culas dalam mengerjakan tuntutan Ilahi. Ad punya karisma tersendiri. Namun caranya dan pemikirannya buat aku kurang berkenan di hati.

Kalau Kay datang dari keluarga usahawan, Ad pula datang dari keluarga ahli politik. Bapanya seorang wakil rakyat dan ibunya pula seorang ketua wanita sebuah parti politik di kawasannya. Kata orang, mana tidak tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Sememangnya patut dan sangat rasional kalau isu politik menjadi kegemaran Ad. Andai dia berjaya dalam dunia politiknya, aku berdoa agar dia mampu jadi ahli politik yang terbaik. Dalam diam, aku selalu rasa Ad tidak perlu melanjutkan pelajaran ke universiti ini. Lagi-lagi dalam bidang Kejeruteraan Mekanikal. Aku berfikiran begitu atas sebab aktiviti Ad dalam arena politik terlalu padat sehingga dia sendiri lupa dan sering mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar. Jurutera yang bagaimana yang akan dilahirkan nanti? Satu persoalan dan tanda tanya seringkali berlegar di  kepala bila aku melihat dia.

Berkata mata tebal dan sedang khusuk duduk di meja bersama buku Fluid Mechanics itu pula ialah I. I juga pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal seperti Ad. Penerima anugerah dekan setiap semester dan seringkali menjadi kaunter pertanyaan kepada pelajar-pelajar lain yang sejurusan dengannya. Tidak boleh dinafikan, I sememangnya antara bijak pandai kampus ini. Namun, sikap dan sifatnya yang naif seringkali dipergunakan oleh manusia-manusia rakus dan sukakan kerja senang termasuklah juga Ad.

I merupakan anak kepada seorang Professor dalam bidang statistik iaitu Professor Dr. Hadi Deraman. Ibunya pula seorang guru Fizik di Maktab Rendah Sains MARA Terendak. Kepintarannya tidak menghairankan kerana beliau sememangnya lahir dalam keluarga pendidik. Seperti Kay dan Ad, I hanyalah sekadar nama gelarannya kerana gemar menggunakan kata ganti diri sebagai "I", bagi merujuk dirinya. Agak pelik bila mengetahui asal usul gelarannya.

Nama sebenarnya ialah Fakhrul Razi. Nama yang indah dan andai diberi pilihan aku lebih gemar memanggilnya dengan nama sebenarnya. Bagi aku, luaran I sememangnya lemah tetapi dalamannya sangat kuat. Di mata aku, I sangat cekal dan kuat menghadapi ejekan serta manusia-manusia rakus yang selalu menggunakan kelebihan fizikal mereka terhadap I. Senang cerita, walaupun I sering ditindas dan dipergunakan, dia tetap redha dan sedia membantu. Hatinya baik dan itu membuat aku bangga punya rakan sebilik sepertinya. Dalam bangga, aku selalu berharap agar I akan melawan dan tidak terus dipergunakan.

Siapa aku? Aku adalah aku. Manusia yang tinggal sebilik dengan ketiga-tiga manusia yang telah aku ceritakan di atas. Aku pelajar jurusan Teknologi Maklumat tetapi meminati bidang fotografi. Tidak sekreatif mana, tetapi sentiasa rasa diri ini kreatif. Dalam kalangan pelajar dan rakan-rakan, aku digelar M. Gelaran ini sekadar singkatan dari namaku yang tertera di kad pengenalan iaitu Maher Mawardi.

Di bilik ini, aku jarang bersembang bersama Kay, I dan Ad dalam masa yang sama. Sebab utama perkara ini jarang berlaku ialah aku tidak berada dalam jurusan yang sama dengan mereka. Sebab yang kedua, setiap individu dalam bilik ini terlalu sibuk dengan aktiviti masing-masing. Kami lebih gemar membuat hal masing-masing. Senang cerita, kami tidak kenal antara satu sama lain secara lebih dekat. Hanya sedikit sebanyak latar belakang keluarga yang kami kongsikan. Itupun semasa hari pertama kami melangkah ke bilik ini.

Secara jujur, aku agak tertekan dengan keadaan ini kerana sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik, aku benar-benar rasa terasing. Seperti berada dalam penjara keseorangan tanpa teman.

Bersambung...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More