Tuesday 15 October 2019

sepi

Lama nota ini kubiar sepi
Tanpa coretan dan kisah peribadi
Sibuk menjadi alasan yang diberi
Lebih mencari kepuasan sendiri
Hingga kekadang aku terlupa peranan diri
Patutnya mengabdi pada Ilahi
Kerna tujuan hidup destinasinya mati

Banyak perkara yang hendak digapai
Sehingga satu pun tidak mampu dicapai
Akhirnya aku sendiri yang terkapai

Hidup harus punya matlamat
Menuntut ilmu perlukan berkat
Setiap yang mula pasti ada penamat
Beringatlah, kiamat semakin dekat

-nota arriwaaie-

Sunday 25 October 2015

Konkrit

"Kau tak payah sebut nama dia! Aku tak dengar langsung. Kau faham tak?", keras nada Alam bila nama Yasmin meniti di bibir Midah.

Keras pendirian Alam. Sukar benar bagi Midah meleraikan permusuhan antara Alam dan Yasmin. Pertelingkahan dua makhluk ini bisa membuat hidupnya tidak tenang. Hanya kerana sepucuk surat segala episod lara bermula. Dari pasangan sejoli yang sehebat Laila dan Majnun, kini berubah menjadi kucing dan anjing. Langsung tidak boleh bersemuka. Ada sahaja isu yang menjadi api pertengkaran.

Midah tidak lagi terdaya untuk berhadapan dengan situasi ini. Namun, dia tidak boleh lari meninggalkan kemelut ini berpanjangan begini. Mungkin Yusuf yang perlu dia salahkan atau juga Asmidar. Midah cuba mengingat kembali akar permusuhan yang terjadi antara Alam dengan Yasmin. Perlukah dia menjadi bangau dan menyalahkan insan lain atau menjadi ular seterusnya mengaku salahnya walau dirinya bukan punca nyata perbalahan ini tercetus?

Galau hati Midah....

Saturday 16 November 2013

Karya Ini

Karya Ini

Telinga mendengar setiap perkhabaran
Mata melihat setiap pengambaran
Hidung menghidu mencari bauan
Akal berfikir penuh tumpuan
Hati gundah penasaran

Helaian putih itu dicapai
Pena berdakwat hitam itu digapai
Jemari mula menari
Menterjemah isi hati

Prosa kata mula dirangka
Tatabahasa perlu dijaga
Tekun terus berkarya

Masa terus berlalu
Kekadang jemariku kaku
Hanya mampu duduk termangu
Mencari ilham yang tak bertamu
Jemu juga menjadi tetamu

Cuba berfikir di luar kotak
Guna akal dan juga otak
Dada bertambah sesak
Aku hilang watak

Lembaran itu aku koyak
Aku genggam sampai lumat

Siapa akan peduli?
Siapa akan tangisi?

Naskah ini tidak berisi
Tiada nilai populariti
Tidak punya publisiti





Sunday 20 October 2013

Papan Tanda

Mentari terik membuat mata berpinar. Silau yang begitu memeritkan buat anak remaja itu menapak lemah. Baju seragamnya hampir kuyup dek peluh yang mencurah. Lenguh kaki menambah lelah. Tenaga kian surut dek kekurangan karbohidrat. Hanya kudrat dan semangat yang memacu sepasang kaki itu terus menghayun langkah.

Utoh berhenti berteduh seketika di bawah pohon rambai. Botol air dicapai. Penutupnya diputar lalu air diteguk rakus. Dia terlalu dahaga. Tekaknya kian kering menjadi bahan jemuran sepanjang perjalanan ke sekolah. Mukanya penat dalam kegalauan. Hari ini dia lambat lagi. Denda apa pula yang bakal diterima nanti. Airnya kini tinggal separuh. Jadi bekal semasa perjalanan pulang nanti. Dia mula melangkah lagi menuju ke destinasi.

15 minit berlalu...

Pintu pagar telah tertutup rapat. Dia melihat jam dinding di pondok jaga. Utoh terlambat 10 minit dari hari-hari biasa. Pak Mael tersenyum melihat anak remaja yang kepenatan itu. Pagar dibuka lalu menyuruh Utoh lekas ke kelas. Pak Mael tahu Utoh bukan pelajar culas.

Utoh berlari laju ke kelas 5 Bestari. Hatinya risau bukan kepalang mengenangkan Cikgu Hamka yang bengis dan sukar untuk diajak bertoleransi. Sampai sahaja di muka pintu, Cikgu Hamka menyambutnya dengan sebatang rotan.

"Kamu lambat lagi Utoh!", suaranya Cikgu Hamka meninggi. Cukup tinggi untuk didengari sehingga ke hujung blok bangunan sekolah. "Sa...sa..saya minta maaf cikgu...", Utoh memohon maaf dalam ketakutan. Muka Cikgu Hamka yang menyeringai itu membuatnya kecut perut.

"Kamu bukan lambat 10 minit, kamu dah lambat 20 minit!", Cikgu Hamka meneruskan momentum kemarahannya. Tiada kendur lenggok suaranya. "Berdiri di luar kelas sampai habis waktu saya!", arahnya tegas tanpa menunggu sebarang penjelasan dari Utoh.

Wednesday 8 May 2013

K.A.M.I

"Abang Rizq, ini Kay dan yang skema tu pula I. Both of them are my roomate", aku memperkenalkan rakan-rakan sebilikku kepada Abang Rizal yang lebih mesra dipanggil dengan gelaran Abang Rizq. "Salam perkenalan. Abang Rizq", kata Abang Rizq. "Kau bawa bodyguard siap-siap bhai!! Masak aku", ujar Abang Rizq sambil menepuk bahuku. Aku sekadar melepaskan  senyum. "Jadi ape cer brother Rizq? Sila lah bentang projek baik tu..", aku bersuara.

"Korang yang berdua ni tak kisah kan?Abang Rizq nak bentang projek ni...", kata-kata itu dituju kepada I dan Kay. "No problem bro. Bentang lah..apa ada hal", Kay menyambut dituruti anggukan daripada I. Abang Rizq mengukir senyum lalu mula berbicara tentang projek yang baru diperolehinya.

"Majlis ni kat Pasir Gudang dan Batu Pahat. Majlis sebelah perempuan kat Pasir Gudang dan majlis sebelah lelaki kat Batu Pahat. Harga yang Abang Rizq buka RM2800. Tapi lepas bincang dan proses tawar menawar, akhirnya Abang Rizq terbaik hati la pula bagi harga RM2500 kat bakal mempelai ni", mukadimah dari Abang Rizq.

"Baik hatilah sangat tu..So, apa pakej dalam RM2500 tu? Bagi potongan sampai RM300. nanti kira-kira modal terkurang baru tau..", aku bersuara. Bukannya aku tidak kenal dengan Abang Rizq tu, selalu kalah kalau pelanggan minta kurang. At last, gaji aku yang kena potong.

"Abang Rizq dah buat kira-kira dah. Jangan takutlah. Everything is under control", seperti menduga apa yang ada dalam kepala otak aku. "Untuk pakej ni, kita akan bagi satu custom album besar dan satu custom album saiz biasa. Selain tu, kita akan bagi satu pendrive untuk softcopy gambar, bingkai gambar saiz 8R dan satu photo canvas saiz biasa. Ada apa komen mau beri?", terang Abang Rizq.

Aku mula mencongak. Kepala ligat berfikir dan membuat kira-kira." Ini untuk 2 hari punya majlis atau 3 hari?", akhirnya aku bertanya. "Untuk 2 hari majlis. Pagi nikah, petang sanding dan minggu depannya bertandang. 1 dan 8 Mei ni. Kau free kan?", penjelasan berserta soalan dari Abang Rizq.

Aku terus mencapai diari hidup aku melihat catatan yang peribadi aku. Akhirnya aku mengangguk tanda aku free pada masa dan tarikh tersebut. Pen aku capai dan terus membuat catatan di diari peribadi aku sambil disaksikan oleh Abang Rizq, Kay dan I.

"Nanti aku bagi kau RM700 boleh?, soal Abang Rizq. "Tu tak termasuk design album kan? Juast upah ambil gambar kan?", aku pula menyoal. "Tolonglah M, janganlah berkira sangat. satu album kau tolonglah design. Abang Rizq mana sempat nak design semua", Abang Rizq memujuk. Aku yang malas nak layan dan selalu akur sahaja ni pun mengangguk sahaja. "Yalah orang tolonglah..", aku membalas.
"Macam inilah bhai!! Terima kasih 150 juta kali!!", persetujuan aku disambut riang oleh Abang Rizq.
"Ane, ini semua kira!! saya bayar!", tiba-tiba Abang Rizq memanggil ane dan menuju ke kaunter pembayaran. Aku terdiam dan Kay juga terkejut. I pula cuma memandang Abang Rizq.

"Terima kasih bro!!", aku berteriak sambil mata menhantar Abang Rizq ke kereta. "Maka selamatlah duit aku...", ujar Kay sambil tersenyum. "Baik betul Abang Rizq tu", I bersuara sambil sengih meleret. "Baiklah sangat...", aku menjawab dengan nada agak memprotes.

"Awak kenapa M? Baiklah tu belanja kita semua", ujar I. Aku hanya mampu tersenyum dan melepaskan keluhan. "Dia bayar ni baru berapa ringgit sangat I oi...bakal dapat seribu lebih, memanglah belanja sekarang", tiba-tiba Kay bersuara. Sekali lagi aku cuma senyum. I agak lambat menyerap apa yang cuba disampaikan oleh Kay.

bersambung....

Tuesday 7 May 2013

Melayu Johor

USMAN AWANG - "MELAYU JOHOR"

Melayu Johor,
Telah terlalu banyak kita kehilangan,
Sawah ladang bertukar tangan,
Pekan dan bandar kita menumpang,
Teluk Belanga entah ke mana,

Yang tinggal hanyalah pakaian,

Sedarah sedaging hampir hilang,
Yang ada hanyalah setulang,
Selat Teberau kian sempit,
Hati rindu jauh tergamit.

Di Johor
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar itu Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Aceh dan Siak adalah Melayu,
Jakun dan Sakai lebih Melayu,
Arab dan Turki pekat Melayu,
Mamak dan Malbari jadi Melayu,
Malah mualaf bertakrif Melayu.

Melayu itu maknanya bijaksana,
Jika menipu pun bersopan,
Kurang ajarnya tetap santun,
Dajalnya cukup selamba,
Budi bahasa jangan di kira,
Beraninya cukup benar,
Tunduk bila bersalah,
Lembutnya cukup jantan.

Setia sampai ke kubur,
Biar mati adat jangan mati sahabat.

Anak Johor,
Luka di Tanjung Putri,
Parutnya di Parit Raja,
Muka biar berseri,
Mulut biar berbahasa.

Berkelahilah cara Melayu,
Menikam dengan pantun,
Menyanggah dalam senyum,
Marahnya dalam tertawa,
Merendah bukan menyembah,
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan,
Jiwa Melayu mengangkat persahabatan,
Kasih sayang kekeluargaan,
Ringan tulang saling bertolongan,
Jujur memaafkan,ikhlas memberikan.

Berdamailah cara Melayu,
Silaturahim yang murni,
Di mulut sama di hati,
Maaf sentiasa bersahut,
Tangan di hulur bersambut,
Luka pun tidak lagi berparut.

Melayu Johor saudaraku yang dikasihi,
Dalam kekeruhan ini carilah kejernihan.

Dalam sengketa ini sambutlah perdamaian,
Sifat terpuji setiap insan,
Bermuafakat supaya berkat,
Bersaudara dunia akhirat,
Berikhtiar dengan tabah,
Kepada Allah berserah.

Tuesday 23 April 2013

K.A.M.I

"Ane! sini mari, mau order juga!!", jerit Kay setiba di Habib. Bergegas pelayan di Habib tu ke meja kami. Almaklumlah, muka Kay ni memang jenis muka orang pecah rumah sikit. "Hah, korang nak order apa? hari ni aku belanja", Kay bersuara. 'Kay mahu belanja? memang terbaiklah hari ini..', gumam aku sendiri. "Kasi roti telur 1, roti kosong 1 dan teh ais 1", I membuat pesanan. Sampai 2 roti dia nak melantak sorang. Gila kentang juga mamat nerd ni. Bagi saya capati 2 dengan kopi O ais satu. aku pun pesanlah 2 juga disebabkan kelaparan yang amat setelah seharian menyiapkan kerja-kerja tambahan aku.

"Pantang sungguh bila dengar orang nak belanja. Dan dan terus order semua dua. Air tu tak nak order dua sekali ke?", perli Kay. I tersenyum dan aku juga tersipu. Bukanlah aku order dua capati tu sebab Kay nak belanja, kalau dia tak belanja pun aku memang nak order dua.."Bagi aku mee goreng mamak satu, roti kosong satu, dan teh tarik satu gelas besar", Kay membuat pesanan. Ane hanya mengangguk.  Tiada langsung sebarang catitan dibuat. Boleh ingat ke tu? Hebat!!

"Kau pun melantak ke Kay?", aku bersuara. "Habis tu, korang ingat kau orang aja boleh melantak?", soal Kay selamba. "Aku memang lapar sangat. Bukannya ambil kesempatan sebab kau nak belanja. Kalau kau tak belanja pun memang aku order 2 gak capati tu kawan..", aku cuba memberi penjelasan. "I pun", I menyampuk. Kelakar bila melihat I mengangguk. Itulah dialog dia memanjang.

Telefon bimbitku kucapai. Jari mula menekan punat mencari nombor yang pemiliknya bernama Rizal. Tiba-tiba bahuku ditepuk orang. "M berganda!!! capati pun berganda beb!!", sergah Abang Rizal diikuti deraian tawa. Aku menjeling menunjukkan rasa tidak puas hati disergah begitu. "Kalau aku ada sakit jantung, boleh kojol tahu tak!", aku melepaskan apa yang terbuku. I terkulat-kulat mengelap meja dek kerana air yang tertumpah. Kesian sungguh aku kat dia, disebabkan sergahan Abang Rizal, terdesak mamat nerd tu.

Tawa Abang Rizal terhenti sebaik terpandang wajah samseng Kampung Dusun milik Kay Benjamin. Akhirnya dia memohon maaf dengan muka yang agak kecut aku kira selepas terpandang Kay. Aku yang geli hati melihatnya. Abang Rizal tak pernah kenal Kay. Maka dia tidak pernah tahu siapa Kay. Bagi aku Kay memang punya gaya samseng, tapi hati dia ada taman. Mamat jiwang karat tahap maksima. Muka aja yang ganas, tapi hati banyak bunga.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More